Guru Utama Lianpadukan
Haji Muhammad Hasyim b Haji Muhammad Salleh merupakan Guru Utama dan pewaris nukil dan Perguruan Lianpadukan setelah ianya diserahkan oleh Pak Mat Kedidi kepada beliau pada tarikh 11 Mei 1997, hari Ahad, jam 9 pagi.
Beliau dilahirkan pada 18 September 1962 di Batu 16 1/4, Kg. Solok Duku, Mesjid Tanah, Melaka. Beliau berketurunan pendekar dari kesultanan Pagar Ruyung yang akhirnya bermastautin di Selangor dan Negeri Sembilan. Ayahanda beliau adalah dari keturunan Al-Masyur, Yaman.
Minatnya mempelajari seni beladiri terserlah kerana sejak waktu mudanya beliau telah mempelajari silat pulut, di samping mengaji bab Usuluddin dengan saudara beliau Tok Abang Jalil dan kemudiannya dengan Tok Arif pula. Pada ketika umur 8 tahun beliau mempelajari Silat Sendeng Buah Melaka Pukulan Kaedah dengan Cikgu Hj. Kassim bin Md. Noh di Melaka.
Setelah berpindah ke Johor, pada tahun 1975-1976 beliau telah mempelajari Silat Kalimah Sakti dengan arwah Cikgu Ahmad Bin Kahar di Kg. Kastam dan Cikgu Hj. Aziz Osman (Pak Aziz Telekom) di Kg. Bendahara Johor.
Pada sekitar tahun 1977-1980 Ayahanda mempelajari Tae Kwon Do dengan master-master sekitar Negeri Johor dan Singapura sehinggalah memperolehi anugerah talipinggang hitam (Black Belt). Di samping itu, Ayahanda juga mempelajari Silat Kuning-kuningan dengan Arwah Hj. Husin di Plentong.
Kemudian, pada tahun 1978-1979 giliran Silat Cimande pula dipelajari oleh Ayahanda . Silat ini Ayahanda pelajari dengan Arwah Wak Saipan.
Kemudian Silat Membujur Lalu Melintang Patah dengan Arwah Yusuf Bin Osman @ Atan bin Osman(Gelaran Atan Sembilang @ Atan Bomoh) sehingga Khatam selama 3 bulan 10 hari. Silat ini adalah gabungan dari silat sendeng, sunting dan silat pulut yang telah diasaskan di Jasin Melaka oleh Dollah Sendo.
Oleh kerana minat Ayahanda yang amat mendalam terhadap Seni Beladiri Diri, bapa Ayahanda telah memperkenalkan Ayahanda dengan Syed Ahmad Syed Hussin Al-Idrus (Pak Mat Singa) iaitu adik saudara kepada bapanya.
Ayahanda telah dicabar oleh Pak Mat Singa maka belaku lah pergelutan antar Ayahanda dan Pak Mat Singa yang mana Ayahanda telah kalah walaupun Ayahanda mendulu mahupun menunggu. Pergelutan itu berlaku di dalam bas.
Maka di sinilah bermulanya penglibatan Ayahanda Guru Hj. Hasyim Bin Hj. Salleh dalam Buah Pukul Mersing. Dalam masa 1 hari saja Ayahanda telah dapat menguasai Lian 1-4.
Selepas itu Pak Mat Singa memperkenalkan pula Ayahanda dengan gurunya sendiri iaitu (Allahyarham) Mohamad b Chik atau lebih dikenali sebagai Pak Mat Kedidi. Kemudian Allahyarham Pak Mat Kedidi telah mengarahkan Ayahanda belajar ilmu buah pukul ini dengan menantunya iaitu (Allahyarham) Razak Sharif (Razak Yahudi)di No.47, Jalan Serampang, Taman Pelangi. Pak Mat Singa sendiri pernah belajar dengan Pak Mat Belantik dan selepas itu dengan Allahyarham Pak Mat Kedidi dan Allahyarham Razak Yahudi.
Dari tahun 1982-1987, Ayahanda mempelajari ilmu buah pukul dengan Allahyarham Razak Sharif. Allahyarham Pak Mat kedidi ketika itu bertugas sebagai Sarjan Mejar Polis Special Branch dan tinggal di berek polis di Jln. Pahlawan, Yahya Awal yang mana sekarang ini menjadi Saujana Condominium dan tidak berapa lama kemudian berpindah ke Taman Sri Skudai.
Pada 1982 juga Ayahanda telah mempelajari buah pukul dengan Pak Mat Samurai di Mersing dan ada ketikanya Pak Mat sendiri berkunjung ke rumah Hj. Hasyim untuk mengajar ilmu buah pukul.
Antara tahun 1982-1987 antara guru-guru yang telah Ayahanda telah pelajari atas saranan Allahyarham Razak Sharif untuk tujuan mendalami, memantapkan, membuat kajian dan membaik pulih ialah:
A. Pak Andak Wahab – Larkin Jaya
Ketika Pak Andak tinggal di rumah saudaranya di Jln. Ketitir iaitu Datuk Hj. Md. Awang Mufti Johor ketika itu yang juga pengamal Buah Pukul Mersing. Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab memberi nama Lianpadukan iaitu “Lian Padukan: Pada Tuhan Diserahkan Keselamatan Anda”. Ayahanda juga pernah berguru dengan Arwah Datuk dalam bab-bab agama dan Usuluddin.
B. Pak Atan Air Batu – Kluang
Ayahanda menuntut dengan Pak Atan di Malay Club House Kluang ketika pergi dengan Allahyarham Razak Sharif.
C. Pak Talib Nik – Larkin Jaya
Ketika Ayahanda berkawan baik dengan Yahya Endau yang berkerja sebagai pembantu makmal di Sekolah Saint Joseph Private, Yahya telah memperkenalkan Ayahanda dengan Pak Talib Nik di Jln Punggok Larkin Jaya. Ayahanda hanya sempat mempelajari Lian 1-8 sahaja kerana arwah Pak Talib Nik meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan.
D. Pak Raja Ali b Raja Salleh – Batu Pahat
Pada tahun 1985 pula, Ayahanda berguru pula dengan Pak Raja Ali Bin Raja Salleh (Pak Raja Gayang 5). Ketika itu, Pak Raja tinggal di Peserai bertugas sebagai Post Master. Bersama-sama Ayahanda yang pergi berguru ialah Guru Besar Batu Pahat High School iaitu arwah Cikgu Dollah Bin Jaip dan Post Master Batu Pahat En. Faisal.
E. Pak Majid Klinik – Kg. Melayu
Pada Tahun 1985-1987 Ayahanda telah berguru dengan Pak Majid Klinik di Jalan Budiman Kg. Melayu. Ketika itu Pak Majid bertugas sebagai Pengawal di Sekolah Convent JB.
Pada September 1987 Ayahanda dikhatamkan oleh Arwah Pak Mat Kedidi. Sebelum itu seramai 5 orang telah dikhatamkan iaitu Mastam (Tanjung Resam), Omar Bank UMBC (Singapura), Hj. Yusuf Idrus adik lawyer Idris(Taman Sri Amar) dan Pak Mat Singa.
Pada Disember 1987 Ayahanda berkahwin dengan Hajjah Fifi dan menumpukan perhatian kepada perniagaan Ayahanda iaitu Syarikat Pengakutan Pasir Gudang Bus Service (PGBS). Ayahanda merupakan Managing Director di Syarikat tersebut yang mempunyai 85 buah bas dan pekerja lebih dari 200 orang.
Pada tahun 1995 Menteri Besar Johor dan MPJB mengarahkan semua syarikat bas bergabung dan Ayahanda membuat keputusan melepaskan syarikatnya kepada Konsortium Transit Link.
Allahyarham Pak Mat Kedidi telah menyedari kisah ini lalu memanggil Ayahanda dengan bantuan Hj. Yusof Idrus yang menjadi orang tengahnya. Mereka telah dipertemukan pada hari jadi Allahyarham Pak Mat.
Pada hari Ahad 11.5.1997 jam 9 pagi, Allahyarham Pak Mat Kedidi telah menyerahkan Nukil Buah Pukul di hari perasmian Gelanggang Kangkar Pulai. Untuk kenang-kenangan Allahyarham Pak Mat telah mengajak Ayahanda ke Rompin untuk berjumpa dengan Allahyarham Anjang Ibrahim. Allahyarham Anjang Ibrahim telah bersetuju dan merestui untuk menjadi saksi peristiwa serahan Nukil tersebut sebelum meninggal dunia pada Maghrib. Allahyarham Anjang Ibrahim adalah pengamal Buah Pukol sezaman Allahyarham Chu Aman. Selepas itu mereka menziarahi pula Arwah Pak Jusoh Bin Buyong, Kaka Buah Pukul Mersing kepada Allahyarham Anjang Ibrahim.
Pada 20 Julai 1999 arwah Pak Mat Kedidi telah mengangkat sumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah Haji Hamid Bin Haji Hassan sebagai tanda penyerahan nukil tersebut yang juga disaksikan oleh Dato’ Azmee Haji Ismail.
