Intisari Lianpadukan
Di dalam Lianpadukan, tiada istilah guling-mengguling, lenting-melenting, menari-nari, baring, berpusing-pusing dan berlari-lari. Di dalam Lianpadukan penumbuk itu bermaksud buah, perisai (tapak tangan) itu pukul. Bila kita menumbuk, musuh menepis, kita melapis ataupun musuh menumbuk, kita melapis. Lianpadukan lebih banyak menekankan corak mendahului serangan daripada menanti serangan. Konsep inilah yang menjadi matapelajaran teras dalam Lianpadukan.
Konsep Lianpadukan tidak jauh berbeza daripada konsep Buah Pukul yang asal.
Secara asasnya, Lianpadukan mengajar cara serangan yang terus dan agresif. Intisari Lianpadukan terletak pada kebolehan pengamalnya untuk melancarkan teknik makan gerak kepada lawannya di mana itu akan menyebabkan lawannya gagal melancarkan sebarang bentuk serangan atau menahan.
Sekali pengamal Lianpadukan bergerak mara dan menyerang dalam jarak rapat, ia akan berterusan memberi tekanan melalui rangkaian serangan yang akan memusnahkan pertahanan lawan sehingga betul-betul menguasai keadaan.
Pengamal Lianpadukan hanya akan berhenti menyerang setelah lawannya benar-benar telah dikalahkan iaitu sehingga jatuh.
Oleh itu, Lianpadukan bukanlah satu seni yang pasif atau bertahan, tetapi lebih kepada pro-aktif, agresif dan berbahaya.
