Majlis Melangir Pedang Adat 2009

Posted by admin | BuletinLP | Wednesday 23 December 2009 5:37 PM

18 Disember (Jumaat), JOHOR JAYA:- Bersamaan malam 2 Muharam 1431 baru-baru ini berlangsungnya satu majlis istiadat Melangir Pedang Istiadat LianPadukan (mandi pedang) di Rumah Adat Lianpadukan di sini.

Majlis tahunan yang sering diadakan setiap muharam ini dihadiri lebih kurang 50 orang ahli dari seluruh pelusuk negara. Majlis ini berlangsung dalam suasana cukup meriah dan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Rombongan dari Kuala Lumpur kali ini melibatkan 2 kereta seramai 7 orang iaitu, Cikgu Azhar, Cikgu Hisham Giant, Zain, Azli, Mior, Ahmad dan saya sendiri. Cikgu-cikgu lain tak dapat hadir sekali kerana urusan kerja, majlis perkahwinan dan, perjumpaan keluarga. Rombongan dari KL bertolak dalam pukul 9.30 pagi dari Kelana Jaya dan tiba di Johor Jaya, Plentong lebih kurang jam 2.30 petang.

Cikgu-cikgu di Johor juga tidak ketinggalan turut serta memeriahkan majlis melangir yang di ketuai oleh Cikgu Din Gondrong, Cikgu Iskandar, Cikgu Jefri, Cikgu Sham dan ramai lagi.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah oleh para ahli yang diimamkan oleh Guru Utama, Yang Mulia Cikgu Hj. Mohamed Hasyim b. Hj Salleh. Setelah selesai berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yaasin dan tahlil arwah secara beramai-ramai.

Di samping itu, majlis melangir pedang kali ini diserikan dengan sambutan hari lahir anak perempuan Cikgu Din Gondrong. Sambutan hari lahir tersebut disimbolikkan dengan bacaan selawat beramai-ramai sejurus selesai bacaan doa tahlil yang dibacakan oleh Cikgu Hasyim.

Kemudian para ahli yang hadir disajikan dengan menu mihun goreng dan nasi lemak kecuali cikgu-cikgu khatam yang membantu Cikgu Hasyim melangir pedang. Mengikut adat melangir, para pelangir dan pembantu-pembantu tidak digalakkan makan dan minum semasa proses melangir berlangsung. Pelangir dan pembantu dinasihatkan dalam keadaan berlapar semasa melangir.

Oleh kerana kerja-kerja melangir kali ini melibatkan lebih banyak senjata dari koleksi Guru Utama sendiri dan juga senjata-senjata dari koleksi para ahli, kerja-kerja melangir memakan masa yang agak panjang. Berikutan dengan itu, para ahli yang menyaksikan iaitu yang tidak terlibat dengan kerja-kerja melangir berulang kali menjamah makanan yang disediakan sehingga habis. Mujurlah Kak Jun, isteri Cikgu Din Gondrong sudi memasak menu mihun goreng Singapore sebagai makanan tambahan pada malam itu. Antara senjata-senjata yang dilangirkan pada malam itu, ialah seperti Pedang Adat LianPadukan, keris-keris pusaka lama, tekpi-tekpi pusaka, kerambit-kerambit, pedang serta sundang dan juga badik-badik.

Majlis melangir kali ini berlarutan sehingga ke pukul 2.30 pagi. Tetapi majlis ini bukan hanya sekadar melangir sahaja, hampir semua hadirin yang datang tidak melepaskan peluang untuk mengambil berkat air pedang adat dan senjata-senjata lama. Mereka meminta Guru Utama Cikgu Hasyim untuk melangirkan badan mereka dengan air tersebut bersama limau. Cikgu Azmi juga turut tidak ketinggalan untuk berlimau pada kali ini. Cikgu lain yang turut serta untuk berlimau bersama ialah Cikgu Hisham Giant, Cikgu Azahar, Cikgu Iskandar, dan lain. Malah penulis juga tidak melepaskan peluang kali ini.

Majlis berakhir pada pukul 5.30 pagi. Kesemua makanan yang disediakan oleh Kak Pi dan Kak Jun sudah lama dihabiskan. Rombongan dari KL berehat dan melepaskan kepenatan di Rumah Adat tersebut. Rombongan dari KL bertolak pulang ke Kuala Lumpur selepas makan tengah hari bersama dengan Guru Utama pada jam 1.30 petang. Cikgu Hisham pula tidak bersama kami kerana beliau ingin ke Singapura kerana ada urusan perniagaan di sana.

Titisan hujan mengiringi kami pulang ke Kuala Lumpur. Namun titisan hujan tersebut tidak menghalang perjalanan kami malah kami lebih selesa kerana perjalanan balik ke KL lebih nyaman.

Rombongan dari KL tiba di Puchong pada jam 8 malam. Rombongan berhenti seketika di Puchong untuk menghantar penulis pulang. Perjalanan pulang agak lancar cuma agak perlahan apabila tiba di Seremban.

LianPadukan dalam Majalah Seni Beladiri Keluaran Disember 2009

Posted by admin | BuletinLP | Monday 14 December 2009 6:40 PM

img_0135rUntuk makluman semua, kisah khatam istiadat Lian Padukan baru-baru ini telah dimuatkan di dalam Majalah Seni Beladiri keluaran Disember 2009. Sila dapatkan segera.

TunePlus Wordpress Theme