Al-kisah Kursus Lian Tapak 100 Lianpadukan
GOMBAK, 27 Februari 2010 – Lian Tapak 100 ini merupakan silibus tertinggi di dalam sistem matappelajaran Lianpadukan. Lian ini dicipta dan diilhamkan oleh Yang Mulia Guru Utama Lianpadukan sendiri iaitu Cikgu Haji Mohamad Hasyim bin Haji Salleh. Yang menariknya, silibus ini hanya diperturunkan kepada cikgu-cikgu khatam Lianpadukan sahaja.
Kursus yang berlangsung hampir 2 hari ini bermula pada 9 pagi bertempat di Studio Beladiri Lianpadukan Gombak. Kursus bermula dengan persiapan para peserta kursus termasuklah sesi memanaskan badan dan upacara membuka gelanggang oleh kesemua yang hadir.
Kursus siri kedua ini berlangsung dengan meriah sekali, apabila dihadiri kesemua cikgu-cikgu khatam seluruh Malaysia. Suasana ceria, gurau senda di antara cikgu-cikgu khatam yang hadir dari Johor, Pahang, Melaka dan Selangor sendiri sukar digambarkan. Hubungan akrab cikgu-cikgu khatam telah melahirkan suasana ceria dan meriah sepanjang sesi kursus.
Sesi syarahan Lian Tapak 100 ini secara bermula pada jam 11 pagi. Sesi syarahan tersebut disampaikan sendiri YM Guru Utama Lianpadukan. Pada sesi syarahan lian, Cikgu Boy, Cikgu Aimi, dan Cikgu Kamal turut membantu Cikgu Hasyim. Mereka ini diminta untuk menunjukkan Lian Tapak 100 seorang demi seorang.
Selepas itu, semua peserta melakukan Lian Tapak 100 beramai-ramai dengan bantuan cikgu khatam yang sudah mahir. Sesi pagi tamat pada jam 1.30 tengah hari sebelum semua peserta kursus menjamu selera makan tengah hari di rumah Cikgu Hisham Giant. Kursus berehat seketika untuk memberi laluan kepada semua peserta untuk berehat dan solat Zohor.
Kursus diteruskan semula selepas solat Asar. Sesi petang pula diteruskan dengan permainan buah aplikasi Lian Tapak 100. Segala kreativiti telah ditunjukkan oleh kesemua peserta dalam mengolah buah-buah aplikasi. Sesi petang ini berlanjutan sehingga jam 7 malam sebelum semua peserta diberi laluan untuk solat Maghrib.
Selepas solat Maghrib, sebelum berlangsungnya sesi penyerahan salinan Nukil, dan gambarajah Lian Tapak 100 serta sijil penyertaan, majlis tahlil untuk keseluruh Allahyarham guru-guru buah pukul.
Upacara penyerahan Nukil, gambarajah Lian Tapak 100 dan sijil penyertaan telah dilangsungkan sejurus selepas majlis tahlil berakhir. Nukil, gambarajah Lian Tapak 100 dan sijil disampaikan sendiri oleh YM Guru Utama Lianpadukan.
Cikgu Din Misai selaku Pengerusi Lianpadukan KL/Selangor juga tidak melepaskan peluang untuk memberikan sedikit cenderahati kepada Pengerusi Lianpadukan Johor dan juga kepada YM Guru Utama Lianpadukan sebagai tanda penghargaan kepada mereka kerana sudi menjayakan kursus kali ini.
