JOHOR JAYA, 7 OGOS 2010 – Lianpadukan kini menambah satu lagi gelanggangnya dan kali ini di bumi Johor pula iaitu di Larkin. Namun begitu dalam episod kali ini, Webmaster ingin menyampaikan kisah-kisah mengenai pembukaan gelanggang baru di Larkin ini dari perspektif Webmaster sendiri. Apakah yang dilalui dan dialami oleh Webmaster sebelum dan selepas pembukaan gelanggang tersebut.
Sebenarnya, semua kisah terjadi tanpa dirancang di mana Webmaster sememangnya sudah lama bercadang untuk bertandang di rumah YM Guru Utama Ayahanda Haji Hasyim b Haji Salleh pada hujung minggu lepas. Kisah bermula selepas Webmaster menerima SMS dari Ayahanda yang kemudiannya berbalas SMS dengan Ayahanda pada petang Jumaat yang berbunyi,
Ayahanda: “Slm, cmna fzal, jd dtg jb?”.
Webmaster: ” InsyaAllah, kalau jadi mlm nanti lepas kelas saya gerak..”
Webmaster: “Nape ayah…? Ayah ada ke mana2 ke…?”
Ayahanda: “tk lh, ok ayh tgu, dtg lh, jgn lpa bwk bju ptih ble ikut ayh g glngng bru pkai plita”
Webmaster: “ok”
Selepas pulang dari tempat kerja, Webmaster terus membuat persiapan untuk berlepas ke JB selepas sesi latihan gelanggang Webmaster pada malam itu. Webmaster terus memasukkan Handy Cam, Camera, dan beg-beg pakaian ke dalam kereta. Sesi latihan di tempat Webmaster mengajar berjalan seperti biasa. Selepas latihan, Webmaster turut memberi kepada Setiusaha Gelanggang Webmaster iaitu saudara Jalimi 3 keping banner dan 5 keping banting untuk tujuan promosi. Dan selepas itu, kami semua pergi kedai mamak untuk melepaskan penat. Webmaster pekena air halia-o suam untuk tujuan membuang angin. Kami berborak-borak sambil berbincang untuk menambah baik usaha mempromosikan Lianpadukan kepada penduduk setempat.
Selepas sahaja minum, Webmaster balik ke rumah yang hanya sejengkal dari gelanggang untuk mandi dan membersihkan diri sebelum berangkat ke JB. Mujurlah semua persiapan ke JB sudah ready. Cuma mandi dan terus berangkat. Terpaksa mandi walaupun akan mengalami selesema kecil sepanjang perjalanan nanti.
Webmaster bertolak dari rumah tepat jam 2.50 pagi. Lalu Webmaster menghantar SMS kepada Ayahanda yang berbunyi, “Salam yah, saya baru btolak”. Perjalanan amat lancar sambil ditemani lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio kereta Webmaster. Apabila hampir jam 3.25 pagi, mata Webmaster sudah mula menunjukkan tanda-tanda mengantuk. Webmaster cuba untuk melawan tapi tak terdaya juga. Akhirnya, Webmaster berhenti di Hentian Sebelah Senawang untuk tidur seketika.
Tidak lama selepas Webmaster melelapkan mata, hujan mula turun dengan lebat seperti ingin menambahkan lagi nikmat tidur Webmaster pada ketika itu. Pada jam 6 pagi, Webmaster terjaga lantas merasakan sudah terlalu lama tidur di situ, Webmaster terus memecut meneruskan sisa-sisa perjalanan. Jam 6.30, Webmaster tiba di R&R Ayer Keroh dan Webmaster berhenti untuk Solat Subuh di situ. Kemudian, Webmaster kembali meneruskan perjalanan sehinggalah sampai di R&R Pagoh untu bersarapan pagi. Hujan turun ketika Webmaster di Senawang masih turun dengan lebatnya seolah-olah ingin meraikan perjalanan Webmaster ke rumah Ayahanda.
Seketika sahaja di Pagoh, sekadar bersarapan pagi. Webmaster kembali meneruskan perjalanan selepas itu. Kemudian, Webmaster menerima SMS dari Ayahanda yang berbunyi, “fzal, kt mna?knp tk smpi2 lg? ujn lbt ni, hti2″. Ketika menerima SMS tersebut, Webmaster sudah pun sampai Tol Skudai iaitu pada pukul 9.21 pagi. Webmaster membalas SMS ayahanda dengan “Dah kat toll nie ayah..”.
Perjalanan amat lancar sekali bermula dari rumah Webmaster sehingga ke penghujung Lebuhraya PLUS. Setibanya Webmaster di Lebuhraya Pasir Gudang, trafik mula sesak. Sesak disebabkan oleh kemalangan yang melibatkan 5 buah kereta. Sebaik sahaja melepasi tempat kemalangan itu, trafik kembali lancar sehinggalah sampai di rumah Cikgu Ain di Taman Molek. Webmaster tiba di rumah Cikgu Ain pada jam 10.06 pagi. Di rumah Cikgu Ain, Webmaster terpaksa bersarapan sekali lagi kerana Cikgu Ain telah menyediakan sarapan mihun goreng.
Selepas selesai bersarapan, maka bermulalah sesi ilmu bersama Ayahanda. Cikgu Ain mula memasak untuk hidangan makan tengahari kami sekeluarga. Semasa memasak, Cikgu Ain sempat juga mencuri peluang sekali sekala bersama kami untuk menambahkan ilmu pengetahuan beliau. Sekali sekala syarahan Ayahanda terganggu oleh kerana otak Webmaster yang sudah berkarat. Walaupun Ayahanda memberi beberapa klu, tapi Webmaster gagal untuk menjawab soalan-soalan Ayahanda. Sesi ilmu ini berlarutan sehingga jam 3.30 petang. Sebelum sesi ini ditangguhkan oleh Ayahanda untuk memberi peluang kepada Webmaster untuk melepaskan penat dan berehat kerana Webmaster belum lagi berehat sejak dari mula sampai di rumah Cikgu Ain. Webmaster tidak melepaskan peluang untuk tidur sepuas-puasnya.
Pada malamnya, Ayahanda mengajak Webmaster untuk bersama-sama memeriahkan Majlis Pancang Gelanggang Lianpadukan di Jalan Serindit, Larkin. Gelanggang ini diamanahkan oleh Ayahanda kepada Cikgu Ato dan Cikgu Ipman. Tapi sebelum berangkat ke gelanggang, kami sekeluarga sempat makan dahulu kerana Cikgu Ain telah bersusah payah menyediakan makanan pada malam itu.
Apabila tiba di gelanggang baru tersebut, latihan sedang dijalankan dan dikelolai oleh Cikgu Ipman. Agak meriah dan penuh gelanggang juga latihan mereka pada malam itu. Sementara penuntut-penuntut sedang tekun belajar Jurus Satu, Ayahanda mengajak Webmaster untuk membantu Ayahanda menjalankan upacara Pancang Gelanggang. Latihan pada malam itu berakhir pada jam 12 malam.
Dalam perjalanan pulang, Ayahanda sempat juga menunjukkan kepada Webmaster rumah Allahyarham Pak Talib Nik di Jalan Pungguk, Larkin. Allahyarham merupakan salah seorang guru kepada Ayahanda. Banyak juga kisah-kisah ketika bersama Allahyarham yang Ayahanda cerita sepanjang perjalanan pulang kami. Selain daripada rumah Allahyarham Pak Talib, ayah juga sempat menunjukkan bangunan pejabat lama Ayahanda di Larkin. Sempat juga saya menyimpan kedua-dua lokasi di dalam perisian GPS Webmaster sebagai rujukan.
Setibanya kami di rumah Cikgu Ain, Ayahanda menyambung lagi syarahan tertangguh. Walaupun otak Webmaster terus berkarat, Ayahanda tetap bersabar malah tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu demi ilmu kepada Webmaster. Bermula dari petua pukul, sehinggalah kepada amalan-amalan hebat yang dimiliki Ayahanda. Sepanjang syarahan Ayahanda, Ayahanda sempat juga menyelitkan dan berberkongsi kisah-kisah dan sejarah-sejarah beliau bersama Webmaster. syarahan kali ini ditangguhkan pada jam lebih kurang 3.30 pagi. Sebelum Ayahanda memberi laluan kepada Webmaster untuk berehat dan tidur.
Pada hari berikutnya iaitu Ahad diteruskan lagi dengan syarahan Ayahanda. Pada hari itu, syarahan Ayahanda lebih banyak berkisar kepada amalan-amalan hebat yang diperturunkan kepada Webmaster. Sambil itu, Webmaster sempat juga bertanya kepada Ayahanda mengenai Lian.
Pada jam 8.30 malam, Webmaster memintaa izin Ayahanda untuk berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Tapi dihalang oleh Cikgu Ain kerana beliau risau Webmaster yang belum makan lagi. Selepas makan malam bersama-sama, Webmaster akhirnya dibenar pulang.
Tidak dinafikan, sepanjang 2 hari bersama-sama Ayahanda untuk mendalami ilmu buah pukul dan ilmu agama, Webmaster rasa bergitu seronok dan begitu teruja sekali. Kerana ilmu-ilmu yang diperturunkan oleh Ayahanda amat istimewa dan sememangnya sukar dicari serta tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Webmaster berasa begitu bertuah sekali. Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Ayahanda kerana tidak jemu-jemu menurunkan ilmu kepada Webmaster. Tidak lupa juga kepada Cikgu Ain, kerana sudi berkorban masa dan tenaga. menyediakan makanan kepada Webmaster sepanjang berada di rumah beliau.